Tutorial kait Magic Circle

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...

Saya sempat siap kaitkan  satu langsir untuk rumah, baru satu ada banyak lagi yang perlu dikaitkan. Ini projek kait yang banyak tertangguh. Jadi saya perlu fokus sehingga siap. Suami sudah mula menyindir, tak siap-siap lagi tempahannya.

Paling susah sebenarnya nak siapkan tempahan ini, sebabnya saya boleh bagi berjuta alasan untuk tak siapkan projek ini, he..he...Tapi memandangkan rumah memang tak berhias sejak mula pindah sampailah sekarang. Saya siapkan sedikit demi sedikit, bukan mudah nak paksa diri buat sesuatu. Lagi mudah paksa orang berbanding diri sendiri.




Saya akan kongsikan tutorial mengait langsir ini bahagian demi bahagian. Agar pembaca faham apa yang saya lakukan. Tapi jika mahu cepat boleh sahaja pergi ke tutorial asalnya daripada onceuponapinkmoon. Nampak mudah sahaja sekali nak kait, tapi yang susahnnya dilanda mengantuk dan malas he..he..



Hari ini saya mahu kongsikan bahagian asas utama membuat langsir ini tentang magic circle . Magic circle ini merupakan salah satu teknik untuk mula mengait bentuk bulat, terutama nak kait bunga, amigurumi dan topi. Kelebihan magic circle, apabila sudah ditarik ketat, tidak wujud sebarang lubang di bahagin tengah hasil kait. Ini menjadikan hasil kerja kita lebih kemas dan realistik. Lupakan teruskan langkah pertama  yang biasa  bagi permulaan project kait yang bermula dengan  CH 2 dan single crochet x pada chain ke 2 daripada jarum kait. Memang cukup sesuai digunakan untuk mengait amigurumi ataupun apa sahaja yang memerlukan kita meletakkan polyfiber ke dalamnya. Supaya polyfiber tidak terkeluar. Juga untuk mengait alas kaki dan alas cawan

Magic circle ini juga menggunakan  istilah lain seperti; 'adjustable ring'dan 'magic loop'. Langkah pertamanya sama seperti kita mengait 'slip knot', tapi biarkan  gelung atau 'loop' longgar dan terbuka seperti bentuk cincin.

1. Buat seperti dalam rajah 1.a  dengan menggunakan hujung benang. 

Rajah 1 a

2. Silangkan hujung benang di belakang benang daripada bebola benang.

3. Masukkan jarum melalui gelung ( 'loop') dan tarik benang melalui gelung ( 'loop') 
untuk membentuk satu loop kecil. 




4. Belitkan benang pada jarum kait kemudian tarik benang menerusi loop yang terhasil tadi. Maka kita akan dapat 1  chain. Bergantung pada paten, ch-1 untuk sc, ch-2 untuk hdc dan ch 3 untuk dc. 


4. Masukkan jarum ke dalam 'ring' kemudian belitkan benang dan tarik menerusi 'ring'. 




5.  Sama seperti yang kita lakukan untuk sc, akan terdapat 2 'loop' pada jarum kait.  Belitkan benang pada jarum kait, tarik benang menerusi 2 'loop' pada jarum kait. Kita akan dapat 1 sc. Bergantung kepada paten yang kita ikut, kait bilangan sc yang dikehendaki. 

6. Contoh dalam gambar ini, saya kait sebanyak 6 sc. Tarik hujung benang sehingga loop ditengah-tengahnya tertutup. 


7. Hasilnya akan jadi macam dalam gambar ini. 

9. Untuk menghasilkan bentuk bulatan, slip stitch pada single crochet pertama. 

8. Hasil akhir yang membentuk bulatan, bahagian tengah tertutup rapat tapa perlu dijahit. 


Nota kaki: Mungkin ada yang keliru di sini, namun boleh rujuk pada nota saya sebelum ini, sc, dc dan hdc. Sama sahaja kaedahnya, namun kaedah ini kita mengait dalam gelung yang berbentuk cincin, bukannya kaitan, ataupun chain. 

Iklan: 3 ebook hanya 50 ringgit, promosi berakhir 31 Ogos ini. 


ikuti ulasan ebook ini di sini


Rujukan:

http://ambassadorcrochet.com/2012/02/14/how-to-make-a-crochet-magic-ring/
http://www.stitchdragon.com/index.php?id=374
http://www.simplycrochetmag.co.uk/2014/10/20/make-magic-loop/

Ulasan